Friday, February 15, 2008

JUSTIN ONG WAY “MENGAMUK” DI ZON BANGSAR!

Bertempat di SMK Desa Perdana, Pertandingan Catur Individu Sekolah Menengah Zon Bangsar telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 14 dan 15 Februari 2008. Seramai 230 orang peserta telah menyertai pertandingan kali ini.




Bagi kategori Lelaki Bawah 18, pertandingan sengit telah dijangkakan dengan kehadiran 3 pemegang pingat emas MSSM 2007. Mereka ialah Lim Zhuo Ren (Emas berpasukan dan perak individu MSSM), Justin Ong Way (Emas berpasukan dan individu MSSM) dan Tan Ken Wei (Emas berpasukan). Seramai 94 orang pemain telah mengambil bahagian bagi kategori ini dan ia telah dimenangi oleh Justin Ong Way (gambar) dari SMK Victoria dengan mendapat 7 mata iaitu 100% kemenangan. Antara pemain yang menjadi mangsa amukan beliau ialah Tham Chee Yin, Tan Ken Wei dan Lim Zhuo Ren. Sementara itu, Tan Ken Wei dan Lim Zhuo Ren berkongsi tempat kedua dan ketiga dengan mendapat 6 mata. Mereka dibezakan oleh mata solkoff sahaja.
Bagi kategori Lelaki Bawah 15, seperti yang dijangka, Yeap Eng Chiam selaku pemegang pingat emas acara individu dan berpasukan MSSM 2007 mudah menjadi johan dengan mendapat 6.5 mata. Pada pusingan akhir, Lim Jien Min dari Sekolah Seri Cempaka berjaya mendapatkan keputusan seri dari Yeap Eng Chiam dan seterusnya menduduki tempat kedua. Tempat ketiga dimiliki oleh Wong Sin Han juga dari Sekolah Sri Cempaka.
Bagi kategori Perempuan Bawah 18, Hazel Wong (gambar) dari Garden International School yang turun sebagai pemenang pingat perak acara berpasukan MSSM 2007 terus membuktikan penguasaan beliau apabila mudah menjadi johan dengan mendapat 5.5 mata daripada 6 pusingan. Tempat kedua dimenangi oleh Thulasi dari SMK Bukit Bandaraya sementara tempat ketiga dimenangi oleh Chia Pei Teng dari SMK Sri Sentosa.
Bagi kategori Perempuan Bawah 15, 3 orang pemain telah mendapat 5 mata dan kedudukan mereka hanya dibezakan oleh mata solkoff. Rebecca Siew dari SMK Seri Hartamas muncul johan diikuti oleh Kuveraa Dharshinee juga dari sekolah yang sama mendapat naib johan sementara tempat ketiga disandang oleh Lynette Wong dari Garden International School.
Secara keseluruhannya, pertandingan ini telah berjalan dengan lancar hasil kerjasama semua pihak yang terlibat terutamanya pihak tuan rumah iaitu SMK Desa Perdana, guru-guru pengiring, barisan pegawai yang mengendalikan kejohanan (gambar) dan pemain-pemain yang terlibat. Tahniah diucapkan kepada semua kerana kerjasama yang telah diberikan sepanjang kejohanan berlangsung.

No comments: