Tempat : Dewan Sri Cochrane, Pusat Kecemerlangan Sukan Cochrane
Bilangan Pusingan : 6
Kawalan Masa : 45 minit setiap pemain
Bilangan Pemain : 60 orang setiap kategori
Cochrane 4 April - Pertandingan Catur Peringkat Negeri MSSMKL baru sahaja melabuhkan tirainya. Tahniah kepada para pemenang, namun yang tewas masih tetap mampu tersenyum. Ini kerana, kejohanan kali ini merupakan kejohanan yang akan memberikan rating kebangsaan kepada setiap pemain yang menyertainya, iaitu kategori individu bawah 18 dan 15 tahun.
Bagi kategori Lelaki Bawah 15, Yeap Eng Chiam dari SMK Lelaki Methodist Bangsar selaku pendatang baru bagi kategori ini telah menunjukkan penguasaan beliau apabila mudah memenangi kategori ini dengan mendapat 6 mata penuh. Tempat kedua menjadi milik Mohd Aminurrasyid dari SMK Segambut Jaya yang mendapat 5 mata, diikuti oleh Wong Jianwen dari Sekolah Methodist Wesley dengan mata yang sama. Mohd Aminurrasyid hanya tewas kepada Chia Yoon Wei sementara Wong Jianwen hanya tewas kepada Yeap Eng Chiam. Mohd Izz yang turut merupakan pencabar utama kejohanan ini tidak dapat hadir kerana mengalami demam campak.
Bagi kategori Lelaki Bawah 18, Justin Ong Way dari SMK Victoria terus mempamerkan kehebatannya apabila memenangi kategori ini dengan mendapat 5.5 mata, iaitu memenangi kesemua perlawanan dan hanya seri dengan Steven Sim pada pusingan terakhir. Tempat kedua dimiliki oleh Lim Zhuo Ren dari Sekolah Sri Cempaka dengan mendapat 5 mata, diikuti oleh tempat ketiga iaitu Tan Ken Wei dari SMK Seri Hartamas dengan mata yang sama. Lim Zhuo Ren dan Tan Ken Wei masing-masing kehilangan 1 mata apabila tewas kepada Justin Ong Way.
Bagi kategori Perempuan Bawah 15, Latifah Kaiyisah dari SMK Convent Bukit Nenas muncul johan kategori ini dengan mendapat 5.5 mata. Beliau kehilangan setengah mata apabila hanya mampu seri ketika bertemu dengan Olivia Madhavan. Tempat kedua jatuh kepada Teh Kai Wen dari SMK Kepong Baru dengan jumlah mata yang sama dan turut kehilangan setengah mata apabila hanya mampu seri ketika bertemu Olivia Madhavan. Tempat ketiga menjadi milik Olivia Madhavan dari SMK Seri Bintang Selatan dengan 5 mata, apabila memenangi kesemua perlawanan dan seri dengan Latifah Kaiyisah dan Teh Kai Wen.
Kategori yang paling sengit, iaitu Perempuan Bawah 18, telah menyaksikan beberapa keputusan menarik. Johan kategori ini telah berjaya memenangi kesemua perlawanan dengan penuh bergaya apabila mendapat 6 mata penuh. Beliau ialah Chia Yoon Yoong dari SMK Kepong Baru. Tempat kedua jatuh kepada Nurul Atikah Rohizan dari SMK Convent Bukit Nenas dengan mendapat 5 mata, tewas 1 perlawanan kepada Chia Yoon Yoong. Tempat ketiga menjadi milik Nurul Akila Rohizan dari SMK Convent Bukit Nenas apabila turut mendapat 5 mata, hanya tewas kepada Lee Lee Yin.
Kejohanan ini turut mendapat perhatian dari Masterskills apabila wakilnya turut menghadiri upacara majlis penutup dan turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama termasuklah Unit Sukan, SMK Aminuddin Baki, SK AU Keramat, para arbiter, guru-guru pengiring dan pemain yang terlibat. Diharapkan agar pemain yang dapat mewakili Kuala Lumpur ke kejohanan catur MSSM nanti dapat terus berusaha memastikan agar Kuala Lumpur terus dapat mempertahankan anugerah Johan Keseluruhan MSSM yang dimenangi pada tahun lepas...
No comments:
Post a Comment