Monday, September 15, 2008

Pertandingan Catur Persahabatan

SMK Padang Tembak Mengalahkan SMK Convent Bukit Nanas! (9-7)

27 Ogos (Rabu) – Bertempat di Perpustakaan SMK Padang Tembak, satu pertandingan catur persahabatan telah dijalankan dengan disertai oleh empat orang pemain dari SMK Padang Tembak dan SMK Convent Bukit Nanas.
SMK Padang Tembak diketuai oleh Azizun Hakim sebagai pemain papan pertama, turut dibarisi oleh Muhammad Izzham Izzuddin selaku pemain papan kedua, Mohamad Luqman Fikry di papan ketiga dan Muhd Zaidi Arif di papan keempat.
Sementara SMK Convent Bukit Nanas yang turut diiringi oleh guru pengiring mereka iaitu Encik Rohizan Mat Ali tidak menurunkan pasukan utama mereka yang telah mendapat pingat perak dalam Pertandingan Catur Berpasukan Bawah 18 Perempuan MSSMKL baru-baru ini. Mereka menurunkan pasukan simpanan yang diketuai oleh Nurul Atikah di papan pertama, Wong Mei Jen di papan kedua, Noor Fathin Nadia di papan ketiga dan Raihana di papan keempat.
Pertandingan telah dijalankan menggunakan Sistem Scheveningen iaitu setiap pemain dari SMK Padang Tembak akan bertemu dengan setiap pemain dari SMK Convent Bukit Nanas dengan kawalan masa 30 minit bagi setiap pemain. Sebanyak empat pusingan akan dijalankan. Oleh itu, terdapat sejumlah 16 perlawanan akan dijalankan dalam pertandingan kali ini.
SMK Convent Bukit Nanas yang turun sebagai pasukan pilihan telah diberikan saingan yang sengit oleh pasukan tuan rumah. Ia boleh dilihat bermula dari pusingan pertama lagi apabila SMK Convent Bukit Nanas hanya mampu berkongsi 2 mata dengan SMK Padang Tembak pada pusingan pertama.
Pada pusingan kedua, SMK Padang Tembak mula mendahului kedudukan mata apabila berjaya mengutip 3 mata berbanding SMK Convent Bukit Nanas yang hanya menang 1 permainan sahaja.
Selepas tamat pusingan kedua, SMK Padang Tembak telah berjaya mengutip 5 mata keseluruhan berbanding 3 mata yang dikutip oleh SMK Convent Bukit Nanas.
Pada pusingan ketiga, SMK Convent Bukit Nanas sekali lagi memberikan tentangan yang sengit apabila berjaya mengutip 2 mata lagi, begitu juga dengan SMK Padang Tembak.
Selepas tamat pusingan ketiga, SMK Padang Tembak masih mendahului apabila berjaya mengutip 7 mata keseluruhan berbanding 5 mata yang dikutip oleh SMK Convent Bukit Nanas.
Memasuki pusingan keempat iaitu pusingan yang terakhir, dengan baki 4 lagi perlawanan, SMK Convent Bukit Nanas memerlukan sekurang-kurangnya 3 lagi kemenangan untuk menyamakan jumlah mata keseluruhan dengan SMK Padang Tembak. Sementara SMK Padang Tembak pula hanya memerlukan minimum 1 menang dan 1 seri dari 4 baki perlawanan ini untuk mengesahkan kejuaraan pertandingan persahabatan kali ini.
Pada pusingan keempat ini, ternyata Nur Atikah dari SMK Convent Bukit Nanas tidak menghampakan harapan SMKCBN apabila berjaya mengutip 1 mata penting. Beliau telah menang keempat-empat perlawanan di sini. Begitu juga dengan Raihana, yang tewas 3 perlawanan sebelum ini ternyata berjaya menghidupkan semula sisa-sisa peluang SMKCBN apabila berjaya mendapat kemenangan pertama beliau pada pusingan terakhir ini. Ini menjadikan kedudukan keseluruhan SMK Padang Tembak dan SMK Convent Bukit Nanas pada kedudukan sama mata iaitu 7 mata. Namun masih berbaki 2 lagi perlawanan.
Dalam debaran ini, SMK Padang Tembak pula berjaya mendahului apabila Muhammad Izzham (SMKPT) berjaya menewaskan Noor Fathin (SMKCBN). Kini, semua tumpuan adalah kepada perlawanan antara Mohamad Luqman (SMKPT) menentang Wong Mei Jen (SMKCBN). Adakah SMK Convent Bukit Nanas berjaya menyamakan kedudukan buat kali kedua? Jawapannya amat mengecewakan, apa yang diharapkan tidak kesampaian. Wong Mei Jen (SMKCBN) tewas kepada Mohamad Luqman (SMKPT).
Selepas tamat kesemua perlawanan, SMK Padang Tembak telah berjaya menewaskan SMK Convent Bukit Nanas dengan kiraan mata 9-7, iaitu satu kemenangan yang tipis tetapi cukup bermakna buat SMK Padang Tembak kerana projek pembangunan catur di SMK Padang Tembak baru sahaja bermula pada tahun ini berbanding dengan SMK Convent Bukit Nanas yang telah lama terkenal sebagai pusat melahirkan jaguh catur Kuala Lumpur.
Diharapkan selepas ini akan ada lagi aktiviti susulan Pertandingan Persahabatan seperti ini kerana ia berjaya mencetuskan dan menghidupkan semula aktiviti dunia catur di kedua-dua buah sekolah yang sepi selepas tamatnya MSSM. Terima kasih kepada SMK Convent Bukit Nanas yang sudi menerima jemputan SMK Padang Tembak, mungkin pada masa akan datang SMK Convent Bukit Nanas pula yang akan menjadi tuan rumah. Yang pasti, SMK Convent Bukit Nanas akan menurunkan pemain utama mereka selepas ini apabila bertemu dengan SMK Padang Tembak!
Terima kasih kepada semua pemain, terima kasih kepada pihak pentadbir kedua-dua buah sekolah, terima kasih kepada Encik Rohizan dari SMK Convent Bukit Nanas, Puan Awanis, Puan Zailiza dan Encik Abd Ur-Rahman dari SMK Padang Tembak dan seterusnya semua pihak yang telah membantu menjayakan pertandingan ini.
Keputusan Penuh Pertandingan...


Para pemain dan guru pengiring sedang menikmati sarapan

Hadiah disampaikan oleh Penolong Kanan Kurikulum SMK Padang Tembak, Cik Normadiah Abdullah.









Para pemain SMK Padang Tembak yang telah menjuarai pertandingan kali ini : Dari kiri Azizun Hakim, Mohamad Luqman Fikry, Muhammad Izzham Izzuddin dan Muhd Zaidi Arif... Tahniah!

3 comments:

anissa3105 said...

Congrats SMKPT. Semoga permainan catur menjadi permainan unggul di SMKPT.

-anis-

Anonymous said...

TAHNIAH.
Kpd Ustaz Rahman & guru-guru penasihat catur SMKPT, anda telah membuktikan bahawa pelajar SMKPT mampu beroleh kejayaan sekiranya dipimpin dan diasuh dengan betul.
Teruskan usaha untuk menjadikan permainan Catur sebagai benchmark kejayaan sukan/kokurikulum di Wilayah Persekutuan.

Asfaruje

Anonymous said...

fuyoo..
azizun dan izzham berjaya mengalahkan pasukan convent..
mcm x prcaya je..
tahniah ustaz abdul ur rahman yg berjayamembimbing mereka..
aida..cekalloVers