Tuesday, June 15, 2010

MSSM 2010...

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...
Tahniah diucapkan kepada kontinjen Wilayah Persekutuan atas kejayaan di Kejohanan Catur MSSM 2010 di Kangar, Perlis. Meskipun kutipan pingat emas menurun berbanding sebelumnya, namun Wilayah Persekutuan masih mampu menjadi Naib Juara Keseluruhan! Kali ini MSSKL telah bertukar nama kepada MSSWP...

Saya berkesempatan berkunjung ke Kejohanan Catur MSSM 2010 walaupun bukan sebagai salah seorang pegawai kontinjen WP atau mana-mana negeri. Saya hadir di sana selama dua hari, sempat melihat perlawanan pusingan kelima, keenam dan ketujuh serta menghadiri majlis penutup. Ramai pemain-pemain baru yang saya lihat mewakili WP baru-baru ini.

Berikut ialah analisis keputusan yang telah dicapai oleh WP :

Emas : 1 (Individu L15)
Perak : 3 (Individu L12, P18, Berpasukan P18)
Gangsa : 4 (Individu P15, Berpasukan L12, P12, L15)

Secara keseluruhannya, WP mempunyai kekuatan yang seimbang dalam semua kategori. Hanya kategori Lelaki Bawah 18 sahaja yang kurang membantu pencapaian WP. Ini mungkin kerana selepas pemergian Lim Zhuo Ren, Tan Ken Wei, Justin Ong dan Khairul Hafiz, belum ada pelapis yang betul-betul mantap untuk menggantikan mereka.

Individu Lelaki Bawah 12 :
Harlief Haniff telah memberi kejutan kepada pasukan WP apabila menggondol pingat Perak, di belakang Yeoh Li Tian (SEL) yang memenangi pingat emas. Beliau hanya tewas sekali kepada Shreyes (PAH) dan seri dengan Yeoh Li Tian (SEL). Ding Tze How juga tidak kurang hebatnya apabila memenangi tempat ke-6.

Individu Perempuan Bawah 12 :
WP meletakkan harapan kepada WNM Tan Li Ting dan Mok Shu Zing untuk kategori ini. WNM Tan Li Ting hanya mampu berada di tempat ke-4 setelah tewas kepada Nur Najiha (SEL) dan Puteri Rifqah (SEL). Sementara Mok Shu Zing, anak kepada IM Mok Tze Meng hanya berada di tempat ke-11.

Individu Lelaki Bawah 15 :
Yeap Eng Chiam berada dalam kelasnya yang tersendiri apabila mudah memenangi emas kategori ini. Beliau yang diletakkan sebagai pilihan pertama hanya seri pada pusingan ke-2 dan menang pada pusingan yang lain. Albert Ang yang pertama kali bermain bagi kategori ini turut tidak menghampakan apabila berjaya mendapat tempat ke-5.

Individu Perempuan Bawah 15 :
Pavitranayagi telah berjaya mendapatkan pingat gangsa buat WP, meskipun pada satu ketika beliau turut berpeluang untuk mendapat pingat emas. Beliau hanya tewas kepada Amira Syahmina (SEL) dan Aida Faridah (SWK) dan menang pada pusingan yang lain. Beliau juga berjaya melakukan kejutan apabila menewaskan pemenang pingat perak, Nur Nabila (SEL). Yap Ern Yee turut tidak menghampakan apabila berjaya mendapat tempat ke-8.

Individu Lelaki Bawah 18 :
Inilah kategori yang memberi masalah kepada WP. Boey Jin Huey dan Samuel Chan adalah dua muka baru yang menyertai MSSM. Boey Jin Huey berjaya mendapat tempat ke-10 sementara Samuel Chan hanya berada di tempat ke-18.

Individu Perempuan Bawah 18 :
Kategori ini turut menyaksikan persaingan sengit untuk pingat emas. WP menerusi Olivia Madhavan (anak kepada Collin Madhavan) berjaya merangkul pingat perak. Beliau hanya seri dengan Alia (MEL) dan Fong Mi Yen (PRK) dan menang dalam pusingan yang lain. Seorang lagi pemain, Ng Yun Hui turut membanggakan apabila beliau berjaya mendapat tempat ke-5. Meskipun baru pertama kali menyertai MSSM, beliau masih mampu menyumbang sesuatu untuk WP.

Berpasukan Lelaki Bawah 12 :
WP berjaya merangkul pingat gangsa di belakang Pulau Pinang (emas) dan Johor (perak). WP yang dibarisi oleh Mohd Faizal Roslan, Tan Yong Zhao, Low Hong Ben dan Tan Soon Wei hanya tewas 2 kali kepada Pulau Pinang dan Johor dan seri sekali dengan Kelantan. Mohd Faizal Roslan merupakan pemain yang paling menyerlah apabila berjaya menyumbang 6.5 mata, diikuti Low Hong Ben (5 mata), Tan Yong Zhao (4 mata) dan Tan Soon Wei (3 mata).

Berpasukan Perempuan Bawah 12 :
Bagi kategori ini, WP turut berjaya mendapat pingat gangsa di belakang Pulau Pinang (emas) dan Selangor (perak). Pasukan ini hanya tewas kepada Perak dan seri dengan Selangor dan Terengganu. Pasukan ini dibarisi oleh Camilia Johari, Nurul Aina, Tan Wei Ting dan Chua Yee Ler. Pemain yang mendapat skor tertinggi ialah Nurul Aina (6 mata) diikuti oleh Camilia dan Chua Yee Ler (5 mata) dan Tan Wei Ting (2 mata).

Berpasukan Lelaki Bawah 15 :
WP telah berjaya mendapat pingat gangsa di belakang Pulau Pinang (emas) dan Selangor (perak). WP dibarisi oleh Wong Jian Wen, Tan Jun Feng, Tan Wei Hao dan Shawn Edgar. Pasukan ini hanya tewas 2 kali kepada Pulau Pinang dan Selangor. Pemain yang mendapat mata tertinggi ialah Wong Jianwen (5.5 mata), Tan Jun Feng (5 mata) dan diikuti oleh Tan Wei Hao dan Shawn Edgar (4 mata).

Berpasukan Perempuan Bawah 15 :
Bagi kategori ini, WP telah mendapat tempat ke-6 daripada 14 pasukan. Pasukan ini dibarisi oleh Natasya Kavina, Veronica Shalini, Joyce Tan dan Chang Hui San. Pemain yang mendapat mata tertinggi ialah Veronica (5 mata), Joyce Tan (4.5 mata) dan Natasha dan Chang Hui San (3 mata).

Berpasukan Lelaki Bawah 18 :
Bagi kategori ini pula, WP hanya mampu menduduki tempat ke-5. Pasukan ini diketuai oleh Muhammad Izz, Yat Guo Jie, Ashwin Subbiah dan Anantha Krisna. Mata tertinggi telah diperolehi oleh Izz (5.5 mata), Ashwin (5 mata), Yat Guo Jie (3 mata) dan Anantha Krisna (2 mata).

Berpasukan Perempuan Bawah 18 :
Tahniah diucapkan kepada pasukan ini kerana berjaya mendapat pingat perak. Meskipun bermula dengan agak perlahan, mereka akhirnya hampir berjaya mengejar pendahulu iaitu pasukan Johor yang memenangi pingat emas. Pasukan ini dibarisi oleh Latifah Kaiyisah, Lee Lee Yin, Teh Kai Wen dan Eunice Yee. Pemain yang berjaya mendapat mata tertinggi ialah Teh Kai Wen (6.5 mata) diikuti oleh Lee Lee Yin (5 mata), Latifah Kaiyisah dan Eunice Yee (3.5 mata).

No comments: