Pusingan Ketujuh (8:30 pagi)
Pemain KL seperti biasa berkumpul di luar dewan, berdoa, mendengar taklimat dan seterusnya bersedia untuk masuk ke dalam dewan. Ibu bapa pemain turut berdebar-debar menunggu bermulanya pusingan terakhir. Dari riak muka pemain, ternyata mereka semakin berkeyakinan menuju ke puncak kejayaan. Adakah KL mampu merampas semula johan keseluruhan yang terlepas pada tahun lepas? Debaran jantung kembali kencang...
Lelaki bawah 12, meja pertama Yeap Eng Chiam bermain putih menentang Wang Hao (P.Pinang). Albert Ang bermain putih di meja kedua menentang Muhd Huzaimi (Terengganu). Muhd Hafizi (Perak) bermain putih menentang Elgin Lee (P. Pinang). Kelebihan berpihak kepada Hafizi kerana mempunyai solkoff yang tinggi. Hafizi pasti tidak akan bertemu Yeap Eng Chiam dan Albert Ang kerana telah bertemu sebelum pusingan ini. Harapan KL untuk memenangi pingat emas individu makin kabur. KL perlu bergantung kepada Elgin Lee agar mampu seri atau menewaskan Hafizi. Berita baik buat KL, Hafizi terkena sakit mata pada pagi itu. Dia bermain catur pakai cermin mata hitam! Harap-harap dia boleh membezakan antara pieces dan petak warna putih dan hitam. Lim Chin Shen bertemu Syreyes (Pahang) sementara Wong Jian Wen bertemu Hafis (Pahang). Keputusannya amat mendebarkan. Eng Chiam dan Albert Ang berjaya memenangi perlawanan mereka. Tahniah! Namun satu lagi keputusan yang perlu ditunggu. Apa yang berlaku kepada Hafizi? Berdebar rasanya menunggu keputusan ini. Elgin atau Hafizi... Berita baik untuk KL, Hafizi tewas kepada Elgin Lee, pingat emas dan perak untuk acara individu buat KL! Lim Chin Shen dan Wong Jian Wen pula menunjukkan kemampuan sebenar mereka apabila turut memenangi perlawanan mereka. 22 mata keseluruhan buat KL. 2 pingat emas dan 1 pingat perak untuk KL daripada kategori ini!
Pasukan Pulau Pinang di tempat kedua dengan 19.5 mata diikuti oleh Selangor dengan 17 mata. Pingat gangsa individu dimenangi oleh Elgin Lee. Terima kasih Elgin Lee...
Albert Ang – Huzaimi. (Lihat Diagram)

Yeap Eng Chiam – Wong Hao (Pertahanan Caro-Kann). Pada pusingan kelima, Lim Chin Shen hampir memenangi pertemuan menentang Wong Hao dengan kelebihan 1 Bishop, namun berakhir dengan keputusan seri. Kali ini, Yeap Eng Chiam pula akan menguji Pertahanan Caro-Kann yang dimainkan oleh Wong Hao, adakah Wong Hao telah memperbaiki semula kelemahannya? Sebelum pusingan ini juga, Yeap Eng Chiam dan mengalahkan pertahanan Caro-Kann yang dimainkan oleh Yeoh Li Tian, begitu juga dengan Wong Jian Wen. Nampaknya pemain KL betul-betul bersedia untuk bertemu pemain Caro-Kann. 1.e4 c6 2.d4 d5 3.Nc3 dxe4 4.Nxe4 Bf5 5.Ng3 Bg6 6.Nf3 Nd7 7.h4 h6 8.h5 Bh7 9.Bd3 Bxd3 10.Qxd3 Ngf6 11.Bd2 e6 12.0–0–0 Bd6 13.Ne4 Nxe4 14.Qxe4 Nf6 15.Qe2 Qc7 16.c4 0–0–0 17.Bc3 Rhg8 18.Ne5 Bxe5 19.dxe5 Nd7 20.f4 (Lihat diagram)

Lelaki bawah 15, meja pertama Justin Ong bertemu Lim Zhuo-Ren. Pingat emas individu sudah dalam genggaman. Di meja 3, Izz bermain putih menentang Sumant dan Tan Ken Wei menentang Siddiq (Terengganu). Lim Zhuo-Ren menang ke atas Justin Ong, sementara Izz tewas kepada Sumant. Tan Ken Wei pula hanya mampu seri. KL hanya mendapat 1.5 mata. Alamak, Selangor mampu mengatasi KL acara berpasukan sekiranya mereka mendapat 4 mata penuh! KL memerlukan 2.5 mata untuk menjadi johan dan 1 mata untuk KL sudah hilang apabila Izz tewas. Kejutan berlaku kepada Selangor apabila Syakir (Selangor) tewas kepada Abdul Rahman (Perak). Sekal lagi berita baik buat KL. KL menjuarai acara berpasukan!
21.5 mata buat pasukan KL diikuti Selangor, 19 mata dan Perak, 17.5 mata. Justin Ong menjadi johan acara individu diikuti Lim Zhuo Ren dan Abdul Rahman (Perak). 2 pingat emas dan 1 pingat perak daripada kategori ini.

Lelaki bawah 18, impian kapten pasukan KL, Khandhar Kaushal untuk bertemu FM Anas menjadi kenyataan. Mereka bertarung di meja 1. Kaushal bermain hitam. Kamal Firdaus bermain hitam di meja 4 bertemu Daryll Lee (Selangor). Alex Gan bertemu Loo Tung Lun (Kedah) dan Matthew Cheah bertemu Kueh Tze Cheng (Sarawak). Kesemua pemain KL hanya mampu seri dengan lawan masing-masing kecuali Kaushal yang tewas kepada FM Anas. 1.5 mata buat KL.
Acara individu menyaksikan FM Anas menjadi johan keseluruhan dengan 6 mata, diikuti Lim Wei Sheng (P.Pinang) 6 mata dan Kaushal, 5.5 mata. Acara berpasukan ternyata milik Selangor dengan 19 mata diikuti oleh KL (18.5 mata) dan P.Pinang yang hanya dibezakan oleh solkoff sebanyak setengah mata sahaja! Ternyata nasib menyebelahi KL untuk mendapat pingat perak. 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa daripada kategori ini.

Perempuan bawah 12, Yap Ern Yee bertemu Chua Yee Teng. Tan Li Ting bertemu Norhidayah (Melaka) sementara Ting Shu Jie bertemu Maisarah (Perlis). Chua Yee Teng dan Tan Li Ting tewas menjadikan KL hanya mendapat 2 mata sahaja.
Sarika (Pahang) yang mendahului acara individu dan hanya perlu seri untuk menjadi johan dikejutkan oleh Nabila (Selangor) yang menewaskan beliau untuk menyamakan kutipan mata kepada 6 mata. Terdapat 3 pemain yang mengutip 6 mata termasuklah Hoh Tjin Li (P.Pinang). Keputusannya hanya dibezakan oleh mata solkoff yang dimenangi oleh Nabila, diikuti oleh Hoh Tjin Li dan Sarika. Acara berpasukan dimenangi oleh Selangor yang mendapat 21 mata, meninggalkan jauh pasukan lain iaitu pasukan Kelantan dan Kedah (16 mata). KL mencatatkan keputusan yang terburuk dalam acara ini apabila sekadar menduduki tempat ketujuh acara berpasukan.
Perempuan bawah 15, Hazel Wong bermain hitam di meja kedua menentang Wong Siew Ting (Perak). Lee Joo Hui bermain putih di meja ketiga menentang Ong Choo Yong (P. Pinang). Latifah Kaiyisah menentang Lau Hui Ting (P.Pinang) dan Teh Kai Wen menentang Siti Amirah (Johor). Hanya Lee Joo Hui yang tewas, sementara Teh Kai Wen seri dengan lawannya. Hazel dan Kaiyisah menang ke atas lawan masing-masing. 2.5 mata untuk KL.
Alia (Melaka) menentang Charlene Chai (Sarawak) di meja satu menepati ramalan apabila menang dan seterusnya menjadi johan kategori individu dengan 6.5 mata diikuti oleh Ong Choon Yong dengan 6 mata. Tempat ketiga menjadi milik Kwan Tszee Yeung dengan 5.5 mata. Kategori berpasukan menjadi pertaruhan KL. Selepas hanya ketinggalan setengah mata semalam kepada P.Pinang, pagi ini harapan KL agar P.Pinang terus tidak mengutip mata menjadi kenyataan. P.Pinang hanya mampu menggapai 1 mata sahaja. Pasukan KL menjadi johan keseluruhan dengan 19.5 mata diikuti oleh Johor dan P.Pinang dengan 18.5 mata. 1 pingat emas daripada kategori ini. Tahniah KL!

Wong Siew Ting – Hazel Wong (Lihat Diagram).

Perempuan bawah 18, Kuan Kit Leng bermain putih di meja ketiga menentang Maryam (Selangor). Chan Wei Qi menentang Norasikin (Terengganu), Yeap Khuan Yee menentang Naqiah (N.9) dan Chia Yoon Yoong menentang Wong Cher Yi (Johor). Hanya Chan Wei Qi dan Chia Yoon Yoong menang ke atas lawan masing-masing. 2 mata untuk KL.
Wan Khye Theng menepati ramalan awal untuk bergelar johan kategori individu dengan 6 mata diikuti oleh Maryam dengan mata yang sama. Felicia Woon mendapat tempat ketiga dengan 5.5 mata. Bagi acara berpasukan, Selangor terus unggul di tempat teratas dengan 20 mata diikuti oleh KL dan Negeri Sembilan dengan 18 mata. 1 pingat perak daripada kategori ini.
Kesimpulannya, keseluruhannya KL berjaya meraih 2 pingat emas acara individu dan 3 pingat emas acara berpasukan. Jumlah 5 pingat emas daripada 12 pingat emas merupakan pencapaian yang lebih baik dari tahun lepas, namun masih belum dapat menyaingi kejayaan di MSSM Batu Pahat dengan mendapat 6 pingat emas.
Selepas selesai solat Jumaat, semua pemain mengambil peluang membeli belah dan berehat di tepi Sungai Rajang, bahkan ada juga yang menaiki bot menelusuri Sungai Rajang... Terima kasih kepada semua pemain yang bertungkus lumus setiap hari, terima kasih kepada pegawai-pegawai yang menunjukkan komitmen yang tinggi, terima kasih kepada barisan jurulatih yang berdedikasi, terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong sepenuh hati, terima kasih kepada unit sukan KL yang memberikan kepercayaan penuh kepada kami, terima kasih semua, terima kasih, jumpa lagi di MSSM tahun hadapan... Hmmm... indahnya Sarawak 2007!
No comments:
Post a Comment