Lelaki bawah 12, tekanan boleh dirasakan kini oleh Albert Ang sebagai pendahulu senarai pemain dengan 5 mata penuh. Beliau turun menentang Wong Hao di papan pertama bermain hitam. Yeap Eng Chiam bermain putih di papan kedua menentang Abd Muhaimin dari Pahang. Lim Chin Shen di papan keempat menentang Huzaimi (Terengganu) dan Wong Jian Wen menentang pemain Perlis. Keputusannya tidak seperti yang dijangka apabila Albert Ang dan Lim Chin Shen tewas. Hanya Yeap Eng Chiam dan Wong Jian Wen yang menang. 2 mata untuk KL.
Pasukan KL masih mendahului acara berpasukan dengan 18 mata diikuti rapat oleh P. Pinang dengan 17 mata. Esok KL perlu menang minimum 3.5 mata untuk mengesahkan kemenangan acara berpasukan. Acara individu menunjukkan persaingan yang sengit. 6 pemain mendahului dengan mendapat 5 mata. Sangat sengit. Sesiapa sahaja mampu menjadi johan yang hanya dibezakan oleh mata solkoff. Setakat ini Mohd Hafizi (Perak) mempunyai solkoff tertinggi dibezakan dengan 3 mata dengan pesaing terdekat, Albert Ang. Pingat emas acara individu masih samar-samar, hanya nasib yang akan menentukan kejuaraan esok hari. Sekiranya Hafizi menang, emas pasti menjadi milik beliau. Harapan KL, biarlah dia seri atau kalah. Selamat berjaya KL...

Lelaki bawah 15, Justin Ong bertemu rakan sepasukan Tan Ken Wei. Kedua-dua mereka masih belum tewas. Berbeza hanya setengah mata. Lim Zhuo Ren bermain putih di papan kedua menentang Evan Timothy (P. Pinang). Izz bermain hitam menentang Lim Wei Kang (P.Pinang). Selepas penat berhempas pulas, Justin, Lim Zhuo Ren dan Izz berjaya menewaskan lawan masing-masing. 3 mata buat KL!
Pasukan KL mendapat 20 mata mendahului Selangor yang mendapat 18 mata. Esok KL hanya perlukan 2.5 mata untuk dinobatkan sebagai johan berpasukan. Kategori individu menyaksikan Justin Ong berada dihadapan dengan 6 mata penuh! Beliau hanya perlukan seri untuk menjadi johan individu bawah 15 lelaki. Harapan 2 emas dari kategori ini sangat cerah...
Lim Zhuo Ren – Evan Timothy (Catalan). (Lihat Diagram)

Lelaki bawah 18, bermain di papan pertama Kamal menentang Kaushal. Alex Gan menentang Khadir (Terengganu) dan Matthew Cheah menentang Loy Pik Shian (Johor). Hanya Kaushal yang menang. Keputusan yang mengecewakan. Hanya 1 mata untuk KL.
Pasukan KL, P. Pinang dan Selangor kini terikat dengan 16.5 mata. Kedudukan yang sangat sukar diramalkan. Tetapi paling kurang pun pingat gangsa sudah dalam genggaman. Kaushal, kapten pasukan KL, menjadi pendahulu acara individu dengan 5.5 mata diikuti oleh Lim Wei Sheng (P. Pinang) dan FM Anas (Melaka). Kaushal hanya perlu seri untuk mendapat sekurang-kurang pingat perak. 1 pusingan sahaja lagi. Selamat berjaya...

Perempuan bawah 12, Tan Li Ting bermain hitam di papan ketujuh menentang Qasdina (Kedah). Yap Ern Yee bertemu Hoh Tjin Hui (P.Pinang). Chua Yee Teng menentang Maisarah (N.9) dan Ting Shu Jie bertemu Lily (Sabah). Hanya 2 pemain yang menang iaitu Yap Ern Yee dan Chua Yee Teng. Hanya 2 mata buat KL.
Pasukan Selangor terus mendahului kategori ini dengan 18 mata diikuti oleh P. Pinang (14.5 mata). Selangor sudah pasti mendapat pingat emas acara berpasukan kerana mereka hanya memerlukan 1 mata sahaja pada pusingan ketujuh. Bagi kategori individu, Sarika (Pahang) jelas mendahului dengan 6 mata penuh. Beliau diekori oleh Nabila (Selangor) dan Hoh Tjin Li (P.Pinang) dengan 5 mata. Sarika hanya perlu seri pada pusingan ketujuh untuk memastikan emas milik Pahang.

Perempuan bawah 15, Hazel Wong bermain putih di papan keenam menentang Nur Afizan (Perak). Lee Joo Hui menentang Aemellia (Kelantan), Teh Kai Wen menentang Raihan (Terengganu) dan Latifah Kaiyisah menentang Joyna (Melaka). Keputusannya amat menggembirakan. 3.5 mata buat KL. Hanya Teh Kai Wen yang seri dengan Raihan, yang turut berjaya menyekat penguasaan KL apabila seri dengan Lee Joo Hui pada pusingan kelima.
Pasukan KL memperbaiki kedudukan apabila menduduki tempat kedua dengan 17 mata, ketinggalan setengah mata dari P.Pinang. Harapan untuk mendapat pingat emas tetap ada, hanya ketinggalan setengah mata. Pusingan akhir menjadi penentu. Mereka perlu menang 4 mata penuh untuk mengejar P.Pinang dengan harapan P.Pinang akan seri atau tewas 1 mata. Acara individu, Alia (Melaka) menewaskan Renitha (Johor) sementara Charlene Chai (Sarawak) menewaskan Kwan Tszee Yeung (Johor). Ini bermakna juara akan ditentukan antara Charlene Chai dan Alia.
Hazel Wong – Nur Afizan. (Lihat Diagram)


Perempuan bawah 18, Chan Wei Qi bermain hitam di papan kedua menentang Felicia Woon (Sarawak). Yeap Khuan Yee menentang Maryam (Selangor), Kuan Kit Leng menentang Wong Tze Ching (Sarawak) dan Chia Yoon Yoong menentang Marsyitah (N.9). Keputusan yang agak mengecewakan apabila KL hanya mendapat setengah mata sahaja, sumbangan dari Kuan Kit Leng. Keputusan terburuk setakat ini!
Pasukan Selangor menduduki tempat teratas dengan 17 mata diikuti Sarawak dengan 16.5 mata dan KL dengan 16 mata. Satu persaingan yang amat sengit, dan KL masih berpeluang mengejar Selangor. KL perlu menang 4 mata penuh esok, satu misi yang sukar direalisasikan berdasarkan prestasi semasa, sambil dalam masa yang sama mengharapkan Selangor tewas 1 perlawanan. Wan Khye Theng kembali mengungguli kedudukan pemain individu apabila menewaskan pendahulu Yeoh Hui Wen (Kedah). 5 pemain terikat dengan 5 mata yang didahului oleh Khye Theng hasil perbezaan solkoff sebanyak 1 mata sahaja. Kedudukan yang sangat sengit, sesiapa sahaja mampu menjadi juara individu.
Kesimpulan pusingan enam, terdapat beberapa kilauan emas yang sudah berada di depan mata. Hanya menunggu masa sahaja untuk mengutipnya. Lelaki bawah 12 dan 15 mampu menyumbang 4 emas. Lelaki bawah 18 secara matematiknya mampu menyumbang 2 emas, namun bergantung kepada konsistensi prestasi mereka. Perempuan bawah 12 sudah pasti tidak mampu menyumbang emas, namun masih boleh untuk mengejar gangsa atau perak bagi acara berpasukan. Perempuan bawah 15 dan 18 masih boleh mengharap kepada acara berpasukan untuk mendapatkan emas. Di atas kertas, esok KL mampu mencapai 8 pingat emas maksimum daripada 12 pingat emas yang dipertandingkan. Kita tunggu sahaja apa yang akan berlaku esok. Malam ini, latihan dijalankan di bilik seminar hotel. Terima kasih sekali lagi kepada ibu bapa dan pihak hotel. Segala arahan dan tunjuk ajar serta persediaan untuk esok telah diberikan. Terpulang kepada pemain membuktikan siapa diri mereka. Malam sudah semakin larut, terus pulang ke hotel, berehat, tidur, kepenatan...
No comments:
Post a Comment